Rabu, 19 April 2017

Artis Penyeri Majlis Amal Pertubuhan Kebajikan Muafakat Terbilang Malaysia @ MUALANG MALAYSIA

Artis Penyeri Majlis Amal MUALANG MALAYSIA

Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Golongan artis sering menjadi ‘umpan’ terbaik untuk menarik perhatian masyarakat dalam apa juga bidang. Peranan mereka diakui sangat besar dan penting.
Ini mendorong Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Muafakat Terbilang Malaysia (Mualang Malaysia) menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Mualang yang menampilkan barisan artis dikenali ramai.
Program selama dua malam iaitu pada 21 dan 22 April ini akan berlangsung di Dewan Orang Ramai Meru, Klang, Selangor jam 8 hingga 12 malam.
Malam pertama akan menampilkan Bandi Amuk, Gmie Screen, Korie, One Fair dan Mualang Buskers.
Manakala pada malam kedua pula menampilkan Datuk Ramli Sarip, Tiar Jinbara, Ariffin Teoh dan Mualang Buskers.
Presidennya, Fadzley Mohd Yusof berkata, ini program pertama anjuran mereka dan menariknya peminat yang hadir menonton tidak dikenakan sebarang bayaran.
“Mualang baru setahun ditubuhkan dan program ini diadakan bertujuan membentuk pemuafakatan dalam kalangan semua bangsa dan golongan masyarakat majmuk di negara kita.
“Kami hanya menjual kupon sumbangan dan peminat bebas menyumbang berapa sahaja jumlah bagi mengisi tabung disediakan,” katanya.
Menurutnya, jarang NGO melakukan program sebegini dan mereka mengharapkan agar masyarakat di Selangor hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan.
“Kutipan yang diperoleh akan disalurkan kepada golongan fakir miskin, penghidap autisme dan orang tua.
“Dengan matlamat murni kami dan barisan artis yang ditampilkan, kami menjangkakan lebih 6,000 peminat hadir ke program ini nanti,” katanya.
Menurut Fadzley, kupon perlu dibuat supaya pihaknya dapat mengehadkan kehadiran penonton untuk menyaksikan persembahan artis.
“Kami akan terima sekiranya peminat menyumbang serendah satu ringgit, namun lebih afdal jika mereka menyumbang lebih.
“Penyumbang yang nak bekerjasama dengan kami pada masa depan juga boleh hadir dan membeli kupon yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Mualang Malaysia Ahmad Nordin Samit selaku Pengarah Program pula berkata, biarpun tanpa jualan tiket dan hanya mengharapkan sumbangan peminat, pihaknya tidak berkompromi dengan kualiti persembahan artis.
“Kami sememangnya bergerak sendiri menganjurkan program ini, namun bersyukur kerana mendapat tajaan daripada syarikat MRB Network yang menerbitkan filem Bikers Kental 2.
“Sementara sistem bunyi pula ditaja oleh Warisan Sound Studio dari Sijangkang dan barangan mereka memang berkualiti,” katanya.
Nordin turut memuji artis terbabit kerana hanya menerima wang saguhati dan bukannya bayaran sebenar.
“Kebanyakan artis ini berasal dari Klang dan hanya Ramli Sarip yang tampil sebagai artis istimewa program kami.
“Mereka akan menyanyikan tiga hingga empat lagu dan persembahan akan diiringi oleh pemuzik terdiri daripada gabungan pemuzik otai Klang,” terangnya.
Sementara itu, Gmie berkata, ini pembabitan pertamanya dalam program amal dan dia memuji usaha dilakukan oleh Mualang Malaysia.
“Apa yang boleh saya katakan, program ini berjiwa murni kerana bermatlamat membantu mereka yang memerlukan.
“Di sini artis dapat memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat. Ia satu benda baru dan semoga ia menjadi ikutan pihak lain,” katanya.
Selain persembahan artis, acara lain seperti karnival jualan, pertandingan karaoke, futsal, senamrobik dan permainan rakyat turut diadakan pada sebelah siang program ini berlangsung.
Info lanjut mengenai program ini boleh didapati di Facebook Pertubuhan Mualang Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 1:52 AM
http://www.hmetro.com.my/node/222590


by: 
PADUKA AYAHANDA BOSS JOHN DRAGON

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MAJLIS MINUM SANTAI AHLI-AHLI MUALANG MALAYSIA DI KLANG SELANGOR PADA 30-08-2019 @ 09:00 MALAM.

MAJLIS MINUM SANTAI AHLI-AHLI MUALANG MALAYSIA DI KLANG SELANGOR PADA 30-08-2019 @ 09:00 MALAM. TURUT HADIR WAKIL AHLI-AHLI MUALANG DARI ME...